Monday, April 30, 2007

lompat kijang

Lompat kijang

Mengikut catatan sejarah, acara lompat kijang tidak terdapat pada Sukan Olimpik kuno, ketika manusia sudah mula melibatkan diri dalam kegiatan melompat, seperti acara olahraga. Dalam Sukan Olimpik Kuno, acara ini tidak dipertandingkan. Ini bermakna, acara lompat kijang mempunyai sejarah yang jauh terkemudian daripada acara lompat jauh.

Asal-usul

Adalah dipercayai bahawa acara lompat kijang bermula pada abad ke-19 di Ireland. Kali pertama acara lompat kijang diperlihatkan adalah apabila pelompat melakukan dua kali lompatan dengan menggunakan sebelah kaki yang sama, sebelum melakukan lompatan seperti acara lompat jauh(long jump).
Ini bermakna, acara lompat kijang ini adalah gabungan acara lompat jauh dengan lompatan seperti gaya seekor
kijang. Versi terawal ini dipertandingkan pada Sukan Olimpik moden tahun 1896 di Athens, Greek. Pemenang pertama acara ini ialah James Connoly dari Greek.
Pada peringkat awal, lompat kijang dikenali sebagai hop, step, and jump dan kemudiannya ditukar namanya kepada triple jump. Dari Ireland, acara lompat kijang diperkenalkan ke negara
Scotland, dan seterusnya ke Amerika Syarikat pada akhir abad ke-19.

Teknik lompatan
Perubahan dalam teknik lompatan telah dilakukan dari semasa ke semasa bagi memudahkan para peserta yang mengambil bahagian, iaitu daripada melakukan dua kali lonjakan (hop), yang kemudiannya diubah kepada satu lonjakan, dan diikuti dengan satu langkahan sebelum membuat lompatan.
Kini, acara lompat kijang terus menggunakan teknik yang mula diperkenalkan sejak tahun
1940-an, dan terus kekal sehingga ke hari ini. Acara ini telah mula berkembang selepas tahun 1930-an di Jepun, Brazil, dan Kesatuan Soviet. Telah sekian lama acara ini dipelopori oleh atlet lelaki, namun sejak akhir-akhir ini acara ini telah dipertandingkan di kalangan atlet wanita.
Malah dalam beberapa kejohanan peringkat kebangsaan negara
Malaysia, Sukan Asia Tenggara Sukan SEA(SEA Games) turut memasukkan acara lompat kijang sebagai satu acara pertandingan. Sebagai salah satu acara olahraga yang disertai oleh kedua-dua kategori untuk lelaki dan wanita, maka teknik, kaedah, dan prinsip berhubung acara ini boleh digunakan bersama dalam kategori tersebut.

Pelompat terkemuka di Malaysia

Di antara atlet negara Malaysia yang pernah menyinar dalam acara ini ialah Zaki Sadri. Beliau pernah memenangi beberapa pingat emas untuk negara di Sukan SEA dan beberapa kejohanan trek dan padang di beberapa negara jiran.

Perkara yang perlu diketahui

Anda yang cemerlang dalam acara lari pecut dan lompat jauh, boleh mengambil acara ini dalam kejohanan-kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan, mahupun di peringkat antarabangsa untuk mewakili negara. Seperti juga acara-acara olahraga yang lain, semaikan semangat juang yang tinggi, sama ada semasa membuat latihan, mahupun dalam kejohanan yang sebenar.
Selain memerlukan larian yang bertenaga, daya anjakan serta ketepatan kiraan langkah amat penting bagi mengelakkan lompatan daripada terbatal.

No comments: